BOLASEPAK KEDAH TERIMA DANA RM10 JUTA DARI KERAJAAN NEGERI
Wednesday, 20 November 2013ALOR SETAR, 21 Nov: Pasukan Kedah menerima suntikan semangat menjelang saingan Liga Malaysia musim depan apabila Kerajaan Negeri meluluskan peruntukkan sebanyak RM 10 juta kepada Persatuan Bolasepak Kedah, KFA.
Peruntukkan itu diumumkan oleh Menteri Besar Kedah yang juga Presiden KFA, Datuk Mukhriz Tun Mahathir semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri, DUN, Kedah.
Menurut Datuk Mukhriz, walaupun jumlah tersebut tidak sebesar dana yang dilabur oleh pasukan seperti Angkatan Tentera Malaysia, ATM dan Johor Darul Takzim atau JDT, namun ia cukup untuk Kedah mengharungi saingan liga tempatan.
”Selain peruntukkan tersebut, kerajaan negeri akan berusaha mencari penaja-penaja lain bagi menambah kantung KFA dan semua pihak tidak perlu bimbang dengan perkara tersebut.” Katanya.
Beliau berkata, ia antara langkah kerajaan negeri untuk meningkatkan semula martabat bolasepak Kedah ke tahap yang cemerlang sepertimana yang dilakukan ketika mencatat kejuaraan double trebel sebelum ini.
Sementara itu, Setiausaha Kehormat KFA, Aminuddin Omar berkata, peruntukkan tersebut akan digunakan bagi mengurus pasukan termasuk membayar gaji para pemain.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Badan-badan Bukan Kerajaan, NGO Negeri Kedah bercakap kepada RTM selepas Persidangan DUN Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar.
Aminuddin berkata, KFA akan mengumumkan nama tiga pemain import Kedah dalam tempoh terdekat.
0 comments:
Post a Comment