SEJARAH BOLASEPAK MALAYSIA : KELANTAN FA
Friday, 15 November 2013Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kelantan Football Association - KAFA) merupakan salah sebuah persatuan bola sepak di Malaysia yang mewakili negeri Kelantan Darul Naim. Pasukan yang lebih dikenali sebagai Pahlawan Merah (The Red Warriors) ini berpangkalan di Jajahan Kota Bharu, ibu negeri Kelantan. Stadium utama pasukan Kelantan FA ialah Stadium Sultan Muhammad Ke-IV yang berkapasiti 30,000. Pasukan ini merupakan salah satu pasukan yang bersaing dalam Liga Super Malaysia, iaitu liga tahap tertinggi dalam Liga Malaysia.
Sejarah Pasukan
Ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1946 namun rekod mencatatkan Persatuan Bola Sepak Amatur Kelantan sudah wujud seawal tahun 1889, Kelantan FA merupakan pasukan bola sepak tertua di pantai timur Malaysia.
Pada tahun 1986, Timbalan Menteri Besar Kelantan ketika itu, Datuk Haji Ahmad Rastom Haji Ahmad Maher menerajui kepimpinan bola sepak Kelantan sehingga tahun 1990. Pada tahun 1991, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Haji Wan Hashim Wan Daud mengambil alih kepimpinan yang ditinggalkan oleh Datuk Haji Ahmad Rastom Haji Ahmad Maher setelah tampuk kepimpinan kerajaan negeri bertukar tangan.
Pada tahun 2004, jawatan presiden bertukar tangan setelah Haji Ahmad Jazlan Yaakub diberi laluan untuk menerajui KAFA. Sejarah tertulis dalam buku bola sepak Kelantan dimana pada tahun 2005, Kelantan merupakan satu-satunya negeri yang bermain dalam Liga FAM setelah berada ditangga tercorot dalam Liga Perdana tahun sebelum itu. Tahun 2007 menyaksikan perubahan dalam lanskap kepimpinan KAFA yang baru apabila Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Annuar Haji Musa diberi kepercayaan menerajui Persatuan Bola Sepak Kelantan bagi penggal 2007/2010.
Tahun pertama Tan Sri bersama Kelantan FA sudah menampakkan peningkatan apabila berjaya meraih tempat ketiga dalam Liga Perdana musim 2007/08. Malahan dalam saingan Piala Malaysia pula, walaupun Kelantan gagal melayakkan diri ke suku akhir Piala Malaysia, tetapi kejutan yang dilakukan diperingkat kumpulan sedikit sebanyak menyaksikan kebangkitan Kelantan tidak harus dipandang rendah.
Pada 2009 Kelantan mampu berbangga kerana berjaya melangkah ke dua final iaitu Final Piala FA dan Final Piala Malaysia. Namun kedua-dua perlawanan menyaksikan hanya bergelar Naib Juara sahaja. Pada 2010 Kelantan akhirnya mencipta sejarahnya tersendiri kerana berjaya mencapai status Naib Juara Liga Super dan Juara Piala Malaysia. Pencapaian Kelantan terus gemilang pada 28 Januari 2011, Kelantan sekali mencipta sejarah buat kali pertama merangkul Piala Sultan Hj Ahmad Shah dengan menewaskan Selangor selaku Juara Bertahan.
Negeri Kelantan Darul Naim tersenarai antara negeri yang mempunyai akademi bola sepaknya sendiri seperti Akademik Bola Sepak Darulnaim yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri Kelantan pada tahun 2006 bertujuan mencungkil bakat muda yang berusia 8 hingga 12 tahun. Pada 18 Januari 2008, Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata bahawa pihaknya akan menubuhkan akademi bola sepak khusus bagi melatih dan menonjolkan bakat semulajadi pemain bawah 13 tahun negeri ini kesinambungan dari Projek Kijang Emas yang diusahakan semasa sekolah rendah oleh Jabatan Pelajaran Negeri. Ia akan ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Chengal itu yang bakal menempatkan 30 orang pelajar.
Era Kebangkitan
Dari segi pencapaian, Kelantan FA bergelar Naib Juara Piala Malaysia setelah tewas 1-3 kepada Negeri Sembilan FA pada tahun 2009. Pada tahun sama Kelantan FA juga muncul Naib Juara Piala FA apabila kalah kepada Selangor FA dalam penentuan sepakan penalti dengan keputusan 1-4. Manakala selang setahun kemudian, Kelantan FA berupaya mendapat tempat Naib Juara Liga Super 2010 dan seterusnya tahun 2010 juga menyaksikan kejayaan bersejarah buat Kelantan FA apabila dinobatkan selaku JuaraPiala Malaysia setelah menundukkan Negeri Sembilan FA 2-1 dalam perlawanan akhir. Untuk rekod, Kelantan FA pernah beraksi sebanyak 5 kali di pentas akhir Piala Malaysia iaitu pada tahun 1955, 1970, 2009, 2010,2012 dan 2013.
Era Ketua Jurulatih Peter James Butler
Musim 2008-2009 menyaksikan kebangkitan bola sepak Kelantan. Dibawah kendalian Ketua Jurulatih Peter James Butler dari England yang juga bekas pemain tengah kelab bola sepak West Ham United era 1990-an, pasukan Kelantan FA berjaya melangkah masuk ke Liga Super Malaysia, iaitu liga tertinggi dalam Liga bola sepak Malaysia. Beliau juga berjaya membawa pasukan Kelantan FA melangkah ke perlawanan akhir Piala FA buat julung kalinya sejak Piala FA diperkenalkan pada tahun 1990, walaupun Kelantan FA tewas kepada pasukan Selangor FA melalui sepakan penalti 1-4. Namun kemaraan pasukan Kelantan FA tidak dapat dipertikaikan lagi apabila berjaya melangkah masuk ke perlawanan akhir Piala Malaysia pada tahun yang sama. Meskipun Peter James Butler telah pun meletak jawatan sebagai ketua jurulatih Kelantan FA seminggu sebelum bermulanya kempen Piala Malaysia, beliau telah meninggalkan satu sumbangan yang tidak ternilai buat pasukan Kelantan FA sehingga dianggap antara pasukan bola sepak yang paling digeruni dalam Liga Malaysia. Kelantan kembali semula menggunakan khidmat beliau pada musim 2012 selepas pengunduran Datuk M. Karathu pada akhir 2011.
Era Ketua Jurulatih B.Sathianathan
Kelantan FA dikejutkan dengan berita perletakan jawatan ketua jurulatih, Peter James Butler seminggu sebelum sepak mula kempen Piala Malaysia edisi 2009. Namun begitu pihak pengurusan pasukan berjaya mengatasi masalah yang berlaku dan melantik bekas pengendali pasukan kebangsaan, B.Sathianathan dalam meneruskan kempen Piala Malaysia. Beliau berjaya membawa pasukan Kelantan melangkah ke pentas final bertemu dengan pasukan Negeri Sembilan sebelum tewas 1-3. Tahun 2010, B.Sathianathan diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih pasukan Kelantan bagi menghadapi musim Liga Malaysia tahun 2010 dan meraih kejayaan kepada pasukan dan negeri Kelantan dalam merangkul piala-piala yang dipertandingkan. Langkah yang diambil, beliau membawa masuk bekas pemain kebangsaan, seperti Akmal Rizal dan Hairuddin Omar. Namun begitu, beliau gagal membawa pasukan Kelantan melangkah ke pentas final Piala FA edisi ke 21 musim 2010 apabila tewas mengejut kepada pasukan Kedah melalui penentuan jaringan di tempat lawan, keadaan ini menyebabkan para penyokong mula hilang kepercayaan kepada beliau untuk mengemudi pasukan ini dalam meneruskan kempen Liga Super dan kempen Piala Malaysia musim 2010 dan mendesak beliau agar meletak jawatan sebagai Ketua Jurulatih. Namun, beliau berjaya membawa Kelantan meraih trofi Piala Malaysia pertama mereka pada perlawanan penuh dramatik. Beliau akhir digantung 6 bulan akibat membuat kenyataan akhbar tentang mutu beberapa perlawanan.
Era Datuk M. Karathu
Sepanjang tempoh penggantungan B. Sathianathan, pihak pengurusan mengambil langkah drastik dengan menandatangani bekas pengendali Perak, Datuk M. Karathu. Dibawah kendalian beliau, Kelantan berjaya merangkul Piala Sumbangsih untuk pertama kalinya. Walaupun tonggak yang dibawa oleh B. Sathianathan telah pergi ke pasukan lain, dan kehilangan trio kontroversi (Indraputra, Azizi dan Norfarhan) ke T-Team, beliau berjaya membawa pasukan memenangi Liga Super Malaysia 2011 dan berjaya mara ke perlawanan akhir Piala FA Malaysia 2011, tewas kepada Terengganu. Mereka tidak berjaya mengulangi kejayaan musim lalu, apabila sekadar mara pada suku akhir Piala Malaysia 2011. Mereka tewas kepada lawan yang sama pada Piala FA 2011. Selepas itu, beliau mengumumkan perletakan jawatan beliau sebagai jurulatih. Alasan yang diberikan ialah beliau ingin meluangkan masa bersama keluarga. Kejayaan beliau bersama Kelantan mengulangi sejarah beliau bersama Kelantan pada 1993, iaitu separuh akhir Piala FA dan Piala Malaysia.
Kembalinya Peter Butler, Saingan Piala AFC
Selepas teka-teki pengganti Datuk M. Karathu berputar, akhirnya Peter Butler kembali melatih Kelantan. Dengan pemain import dibenarkan beraksi, beliau membawa masuk penjaring terbanyak Piala AFC 2007, Mohammed Ghaddar, membarisi skuad tahun 2012. Selain itu, beliau membawa masuk trio kontroversi ke Kelantan. Mereka tidak berjaya mempertahankan Piala Sumbangsih menentang Negeri Sembilan. Walaupun berjaya membawa Kelantan mendahului Liga Super untuk lapan perlawanan, beliau direhatkan akibat mengkritik campurtangan pengurusan dalam memilih pemain import tanpa beliau. Dalam mereka menghadapi Piala AFC 2012, tugas itu dipegang oleh pembantunya, Zahasmi. Selepas sesi perbincangan dengan pengurusan tentang nasib beliau, akhirnya beliau dilepaskan dari jawatannya. Pihak pengurusan membayar ganti rugi mengikut kontrak.
Era Bojan Hodak
Semasa Peter Butler masih menjadi ketua jurulatih Kelantan, Bojan Hodak yang pernah menabur bakti selama tiga tahun bersama MyTeam bermula 2006, sebelum berhijrah ke Phom Penh Crown FC dalam Liga Kemboja selama enam bulan pada musim 2011-2012 dilantik menjadi ketua pegawai eksekutif Akademi Al-Hambra Red Warriors (Army). Namun setelah pengunduran Butler, beliau dilantik menjadi ketua jurulatih Kelantan FA.[12]
Bojan Hodak telah membawa pasukan Kelantan menjuarai Piala FA buat kali pertama dengan mengalahkan pasukan Sime Darby pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil. Gol tunggal perlawanan telah dijaringkan oleh Mohamed Ghaddar dengan sepakan penalti. Seterusnya, Bojan berjaya mengekalkan kejuaraan Liga Super 2012 yang dimenangi Kelantan pada musim sebelumnya.
Kelantan mengesahkan selaku kuasa besar bola sepak negara musim 2012 dengan melengkapkan kejuaraan treble selepas menjulang Piala Malaysia buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun apabila menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-2 di Stadium Shah Alam.
Stadium
Padang Bola Sepak Tertua Di Malaysia
Padang Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu Kelantan merupakan padang bola sepak tertua di Negara Malaysia dan mungkin tertua di benua Asia kalau mengikut usia penggunaan padang tersebut. Padang Stadium Sultan Muhammad Ke-IV mula digunakan pada tahun 1946 iaitu setelah penubuhan Kelantan Amatur Football Association "KAFA" pada tahun yang sama. Ketika itu dikenali sebagai Padang KAFA dan digunakan sebagai venue perlawanan bola sepak antara Pasukan Kelantan FA setiap kali beraksi. Pada tahun 1965, Kerajaan Negeri Kelantan telah memutuskan untuk membina sebuah stadium bagi kegunaan Pasukan Kelantan FA beraksi dalam suasana yang selesa dan juga untuk golongan belia dan orang ramai untuk beriadah dan bersukan. Pembinaan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV menelan belanja sekitar RM 1.7 Juta ketika itu. Selepas terbinanya stadium ini, padang KAFA ditukar nama kepada Stadium Sultan Muhammad Ke-IV seterusnya menjadi "Gelanggang Keramat" buat Pasukan Kelantan FA beraksi dalam pentas bola sepak negara sehingga sekarang.
Stadium Sultan Muhammad Ke-IV: Stadium Keramat Pahlawan Merah
Stadium Sultan Muhammad Ke-IV merupakan venue perlawanan bagi pasukan Kelantan. Stadium ini boleh menampung jumlah penonton seramai 30,000 dalam satu-satu masa. Dalam saingan Liga Super musim 2008-2009 menyaksikan jumlah penonton yang hadir memberi sokongan mencecah puluhan ribu sehingga memenuhi setiap sudut dan ruang di stadium ini. Pasukan Kelantan tidak pernah kalah kepada pasukan lawan setiap kali perlawanan yang diadakan disini, walaubagaimana pun rekod tanpa kalah pasukan Kelantan di stadium keramat ini lebur di tangan pasukan Terengganu FA dalam saingan Piala Malaysia musim 2008.
0 comments:
Post a Comment