Harimau Malaya sasar ke final

Tuesday, 12 August 2014

Sasaran skuad Harimau Malaya mara ke final Piala AFF Suzuki 2014 di Singapura dan Vietnam dari 22 Nov hingga 20 Dis ini adalah realistik, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Katanya sudah tentu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah membuat kajian terperinci membabitkan prestasi pasukan serta perancangan ketua jurulatih skuad kebangsaan Dollah Salleh dalam meletakkan sasaran tersebut.

Beliau juga mengakui Dollah memerlukan masa untuk membentuk satu pasukan yang mantap walaupun sebelum ini Malaysia kalah kepada Tajikistan 1-4 pada perlawanan persahabatan di Stadium Central, Dushanbe, Jumaat lepas.

"Kita perlu berhati-hati dalam membuat penilaian jurulatih (Dollah) yang pertama kali membimbing skuad kebangsaan ini. Beliau mempunyai tugas berat terutamanya dalam menghadapi perlawanan besar.

"Saya harap sasaran itu realistik dan saya pasti FAM lebih mengetahui prestasi pasukan kita," katanya.

Selepas ini Harimau Malaya dijangka menentang Jordan dalam aksi persahabatan seterusnya pada 11 Okt di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Skuad Harimau Malaya dilapor berdepan laluan sukar pada kejohanan itu selepas diundi dalam Kumpulan B bersama juara bertahan Singapura serta juara tiga kali Thailand.

0 comments:

Post a Comment