Kafando Ditamatkan Kontrak

Monday, 31 March 2014

Awang import, Martin Kafando terpaksa menamatkan musim bola sepaknya bersama Perak lebih awal apabila mengalami masalah kesihatan serius yang memerlukan masa enam bulan untuk sembuh.

Pengurus The Bos Gaurus, Datuk Azhar Ahmad berkata Kafando mengalami ‘kebas’ anggota badan dan percaya ia berkaitan dengan sistem saraf pemain Burkina Faso itu.

“Perak terpaksa mencari pengganti Kafando segera. Saya mahu seorang pemain bertaraf pemain kebangsaan juga sebagai gantinya. Kita akan cari segera pemain itu,” katanya semalam.

Apa yang dikesalkan Azhar ialah pemain itu menyembunyikan tentang ‘penyakit’ dialaminya itu sejak pertemuan dengan Terengganu di Ipoh pada awal musim semata-mata kerana mahu beraksi menentang Pahang di Stadium Darul Makmur, malam kelmarin.

“Sebenarnya dialah punca kekalahan 2-0 Perak di tangan Pahang itu. Dia gagal menyelamatkan bola dan gara-gara kesilapannya itu Perak terhukum dua kali.

“Keputusan perlawanan langsung tidak mencerminkan perjalanan perlawanan kerana Perak yang menguasai perlawanan.

“Malah, pegawai Pahang sendiri turut memperakui persembahan cemerlang pemain Perak,” katanya.

Berikutan kekalahan terbaru Perak yang juga kekalahan kedua berturut-turut itu, Azhar berkata beliau akan melakukan tindakan drastik dalam usaha mengubah nasib pasukan.

0 comments:

Post a Comment