Perak FA menamatkan serta merta kontrak pemain import
Sunday, 6 April 2014Dalam keadaan semakin terdesak, Perak mengambil langkah yang mungkin paling drastik dalam sejarah bola sepak negara apabila menamatkan serta merta kontrak penyerang import yang belum bermain walaupun satu perlawanan untuk pasukan itu.
Penyerang import dari Lubnan, Imad Ghaddar, 23, ditamatkan kontrak hari ini, hanya selang dua hari selepas dia menandatangani kontrak untuk bermain dengan The Bos Gaurus.
Pengurus pasukan, Datuk Azhar Ahmad berkata, tindakan drastik itu terpaksa diambil kerana keengganan pemain itu untuk bermain dalam perlawanan menentang Selangor pada Sabtu walaupun telah disenaraikan dalam kesebelasan utama.
Beliau yang nyata kecewa dengan tindakan pemain itu, menyifatkannya cuba menipu pengurusan, penyokong dan rakyat negeri Perak kerana tidak mahu bermain walaupun telah disahkan boleh bermain oleh doktor pakar.
“Kita juga akan membuat aduan kepada FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) kerana sikap tidak professional Ghaddar,” katanya kepada pemberita selepas The Bos Gaurus tewas 0-1 di laman sendiri.
Ghaddar bersama-sama rakan senegaranya Hasan Daher, 31, menandatangani kontrak pada Jumaat.
Hasan bagaimanapun berjaya menawan hati pengurusan pasukan Seladang dengan persembahan baiknya mengawal penyerang Selangor Paulo Rangel.
Ekoran kekalahan itu, Perak terus terperosok di dasar liga.
Mengulas mengenai kekalahan itu, Azhar berkata, pihak pengurusan Perak akan terus melakukan usaha terbaik untuk memperbaiki prestasi pasukan dengan usaha terbaru mengambil dua pemain import dari Nigeria dan Montenegro.
“Saya tidak akan lari dari medan peperangan, sebaliknya akan terus berjuang dan melakukan yang terbaik untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak Perak,” tegas beliau.
0 comments:
Post a Comment