Saya mampu selamatkan Fulham – Magath

Friday, 21 February 2014

LONDON - Felix Magath mengadakan sesi latihan pertamanya selaku pengurus Fulham kelmarin.

Selepas sesi latihan tamat, dia berkata dia "sangat yakin" dapat menyelamatkan kelab itu daripada tersingkir daripada Liga Perdana Inggeris musim depan.

Bagaimanapun, dia menambah bahawa masih terlalu awal untuk membuat keputusan mengenai lain-lain kakitangan kejurulatihan di kelab yang kini menghuni anak tangga tercorot Liga Perdana itu.

Jurulatih Jerman yang cukup berpengalaman itu telah dilantik pada Jumaat lalu tetapi Fulham menafikan yang pengurus sebelum ini Rene Meulensteen, yang baru sahaja memegang jawatan itu selama dua bulan, dan penolong pengurus, Ray Wilkins yang dilantik baru-baru ini telah dipecat.

Alan Curbishley turut dibawa masuk selaku pengarah teknikal hanya beberapa minggu lalu.

Para pegawai kelab itu tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan penjelasan, tetapi Magath berkata dalam satu temu ramah dengan laman web kelab itu (www.fulhamfc.com): "Saya tahu kita mempunyai sebuah pasukan yang sangat berpotensi berbanding yang mereka tunjukkan sebelum ini."

Ditanya mengenai mengelak daripada tersingkir daripada Liga Perdana, yang mana kelab dari London itu telah bersaing di dalamnya sejak 2001, beliau menambah: "Saya yakin saya boleh buat kerana saya pernah melakukannya di Jerman. Saya pernah mengambil alih kelab-kelab dalam situasi sama dan saya sangat yakin saya mampu melakukannya bersama Fulham."

Magath, 60, yang memiliki reputasi sebagai seorang yang tegas terhadap disiplin, berkata adalah terlalu awal untuk membuat keputusan mengenai kakitangan yang ada.

Dengan baki 2 perlawanan lagi, Fulham, yang akan melawat West Bromwich Albion untuk perlawanan seterusnya pada Sabtu ini, berada empat mata dari zon selamat dan setakat ini memiliki perbezaan jaringan yang paling teruk berbanding pasukan-pasukan lain dalam zon penyisihan.


0 comments:

Post a Comment